


KITA BUKAN KURANG TANAH
Mohamad berkata, "sebenarnya kita tidak kurang tanah, cuma tanah yang kita ada ini tidak sesuai ditanam. Tanah berbatu, berpasir, bertanah liat, tanah keras dan tanah masam. Dengan penggunaan produk ini, tanah dapat dipulihkan dan ia menjimatkan kos."
Kesan penggunaan "Biost" ialah tanah akan menjadi lembut, subur, tidak masam, akar baru pokok akan keluar, baja atau nutrien yang tersangkut dalam tanah akan dibebaskan untuk dimanfaatkan oleh pokok.
Malahan pokok akan tumbuh lebih besar, subur, hidup lebih lama, hasil lebih tinggi, meningkatkan jangka hayatnya.
Yang penting penggunaan baja dan racun dapat dikurangkan dan menjimatkan sebab pokok telah menjadi sihat.
"Kita mahu pastikan fahaman orang terhadap produk saya ini bukan baja tetapi pemulih tanah", katanya.
Menurut Mohamad, beliau menyimpan stok pemulih tanah di bangsal atau dihantar terus ke Shah Alam sebelum ke Pelabuhan Kelang. Lagipun pengeluaran dibuat mengikut permintaan bukan ikut stok.
Buat masa sekarang saya tumpukan lebih kepada pemasaran mengikut permintaan terutama semasa ekspo dan berusaha menambah jumlah pengedar.
HARAPAN MOHAMAD
Mohamad mengakui beliau hampir patah semangat apabila sukar mendapatkan pinjaman dan kemudahan terutama ruang perniagaan dan pengesahan daripada pihak yang berkenaan untuk produknya. Dari segi kewangan walaupun beliau dapat mengatasi masalah itu tetapi perniagaannya lambat berkembang. Oleh sebab itu, beliau mahu jabatan-jabatan berkenaan segera mencuba produk usahawan, contohnya produk beliau apabila ada tanah atau kawasan pertanian yang bermasalah atau rosak.
Walaupun mempunyai halangan dalam pemasaran produknya, Mohamad tetap menjalankan beberapa strategi seperti memasuki pasar malam, pekan sehari dan pasar besar di Alor Setar dan yang terbaru membuka cawangan di Shah Alam.
Beliau menasihati agar pengusaha sesuatu produk itu tidak ramai kerana akan menimbulkan lambakan dalam pasaran."Biarkan mereka yang pakar dalam sesuatu produk itu meneruskan pengeluaran manakala yang lain mencari kepakaran dalam bidang lain agar usahawan tani akan berkembang dengan sihat", tambah beliau.
Kerajaan bukan sahaja boleh membantu pengedar, pemborong dan penjual dari segi kewangan malahan pemasaran dan ruang perniagaan. Beliau juga meminta agar kerajaan menggiatkan bantuan kewangan untuk tujuan pemasaran kerana apabila ada pengedaran banyaklah pemborong atau pembeli membeli secara tunai daripada pengusaha.
"Kalau macam saya, ramai nak jadi pengedar dan berhutang, bila berhutang ramai yang tak bayar, oleh itu beri bantuan kewangan kepada pengedar dan pemborong kerana pengusaha akan mendapat faedah daripadanya", katanya. Sekiranya pengedar tidak mempunyai wang bagaimana mereka hendak membayar hutang kepada pengusaha yang seterusnya akan membantutkan proses pusingan modal, tambah beliau.
KECEKALAN MEMBAWA KEJAYAAN
Bagaimanapun, Mohamad agak kecewa kerana usahanya untuk memperkenalkan Biost ini tidak mendapat inisiatif daripada pihak-pihak tertentu terutama dari segi perlaksanaan, pemasaran dan promosi di dalam mahupun luar negeri di samping tidak mendapat sebarang pengiktirafan sejak 10 tahun menceburi bidang ini. "Tidak ada sesiapa datang kata nak ambil produk ini, pengesahan yang produk ini bagus, beri sijil, mereka hanya tengok tanpa mempelawa untuk ambil produk untuk diuji atau dicuba", katanya dengan nada kesal. Atas alasan ingin meniti kejayaan walaupun diselubungi halangan membuatkan Mohamad menjadi lebih cekal, gigih dan kreatif dalam perniagaannya malahan baru-baru ini membawa produknya memasuki pasaran di Shah Alam dan Lembah Kelang. "Kekuatan yang membuatkan saya boleh 'survive', kita perlu kreatif, kerjasama antara satu sama lain dan rangkaian pemasaran yang baik", katanya.
Beliau juga berpandangan jauh apabila melibatkan 5 orang anaknya dengan melatih mereka menjadi pelapis kerana beranggapan kalau beliau masih tidak dapat melihat kejayaannya sendiri, impian itu mungkin direalisasikan oleh anak-anak. "Setakat ini saya dapat melihat kesungguhan anak-anak menceburi bidang ini dan mereka mula boleh berdikari, tahu mencari pelanggan dan peluang di bawah syarikat sendiri." "Saya cukup berpuashati kerana kalau orang lain sukar untuk mempengaruhi anak-anak menceburi bidang yang dikehendaki tetapi saya berjaya", katanya. "Walaupun saya terpaksa belajar lebih banyak perkara tetapi saya berpuashati dengan kesannya, mungkin orang tidak ramai buat macam saya yang memberi suntikan semangat, bahan, pengetahuan kepada anak-anak untuk berdikari", katanya.
SASARAN
Sasaran masa depan saya ialah hendak memperbesarkan perniagaan, memperbanyakkan barang dan mempunyai tempat tetap dari segi kilang, pejabat, tempat dan saluran pemasaran seperti pasar raya, luar negara dan membekalkan kepada jabatan-jabatan seperti majlis bandaran selain menambah jumlah pengguna surirumah. Setakat ini, syarikatnya mempunyai lebih 25 individu atau agensi yang dilantik sebagai ejen pemasaran. Beliau juga berharap dapat meyakinkan orang ramai mengguna "Biost" walaupun harganya mahal kerana faktor keberkesanannya.
Harga sepeket 300gm ialah RM4.00, 500gm (RM6.50m), 1 kg (RM10.00), 5 kg (RM40.00), 10 kg (RM75.00), 20 kg (RM140.00) dan lebih daripada itu boleh dirunding.
Katanya, syarikat juga pernah bekerjasama dengan Yayasan Sosial Tani Membangun Indonesia berpusat di Jakarta di samping menyumbang bahan tulisan dan maklumat pertanian, mengedar bahan bacaan pertanian termasuk buku, majalah pertanian Indonesia iaitu "TRUBUS", produk pertanian dari Indonesia ke Malaysia.
Kini produk syarikat berjaya dipasarkan ke seluruh negara dan mendapat sambutan yang baik daripada pengguna kerana kesannya yang amat nyata dan mengagumkan serta kualitinya terjamin, kata Mohamad. Malahan kini, produknya telah didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia untuk mendapatkan hak bagi memelihara Cap Dagangan serta dipatenkan.